Notis
: Entry ini telah ditulis sebelum gadis yang dikatakan diculik di Kuantan
tersebut ditemui dan mengaku yang dia bukan diculik sebaliknya dengan rela hati
mengikut teman lelakinya tinggal di kediaman keluarga lelaki tersebut. Mungkin
lain kali kita akan menulis tentang itu pulak.
Kebelakangan ini banyak betul berita
tentang kehilangan dan kematian anak anak yang tidak berdaya. Setiap kali kita
melihat perkara sebegini, terus kita teringatkan anak anak kita yang masih
kecil dan mentah itu. Betapa remuknya hati ibubapa yang kehilangan anak anak
mereka, tidak dapat kita bayangkan.
Tidak mungkin akan dapat difahami oleh
orang lain melainkan mereka yang mengalami musibah tersebut.
Kita amat bersimpati dengan kematian Dirang
yang mayatnya ditemui di dalam keadaan yang menyayat hati. Dalam pada itu, kita
juga berasa lega sekurang kurangnya, bukan bapa kandungnya sendiri yang
melakukannya, walaupun pada mulanya kita sendiri pun keliru dengan berita
tangkapannya sebagai seorang suspek.
Sampai begitu sekalikah kekejaman di hati
manusia. Di manakah kemungkinan batasnya kejahatan mahkluk yang dikurniakan
akal fikiran ini. Kita memang tidak faham.
Tidak dapat dijangkau oleh akal fikiran kita mengapa harus seseorang
menyakiti anak ini sebegitu sekali.
Beberapa hari kemudian, terbaca pulak
berita seorang anak yang ditemui lemas di sebuah taman rekreasi. Kemudiannya,
terpampang pulak berita mengenai seorang anak kecil yang ditemui mati lemas di
dalam kolam najis ketika sedang bermain
basikal.
Dan semalam, berita tentang seorang remaja
14 tahun yang diculik kemudian di larikan ke Thailand untuk didagangkan sebagai
pelacur. Mujurlah remaja tersebut dapat meloloskan diri dan sekarang telah
selamat berada bersama keluarganya. Itu yang kita tahu melalui akhbar.
Dan awal pagi ini, semasa melayani laman
facebook kita, teserempak pulak dengan sharing seorang teman tentang seorang
lagi anak gadis belasan tahun yang dilarikan ketika di dalam perjalanan pulang
ke rumahnya bersama 2 orang adiknya, sekembali dari membeli 'reload coupon'. Di
tengah perjalanan pulang ke rumah!! Dipaksa masuk ke dalam sebuah kereta, di
depan adik adiknya sendiri yang tidak berdaya untuk membantu.
Tiada lagikah tempat yang selamat untuk
anak anak kita sekarang ini? Sebimbang
manakah seharusnya kita sebagai ibubapa?
Bagi kita, harus bimbang tahap maksima!
Hanya kebimbangan yang dapat membuatkan
kita lebih prihatin dan berjaga jaga. Jangan sesekali ambil mudah keselamatan
anak anak kita. Jangan terlampau asyik
dengan kegiatan sendiri sehinggakan anak anak kita dilupakan. Sesekali tanya
diri sendiri, di manakah anak saya ketika ini, apakah yang sedang dia lakukan.
Dengan ini mudah mudahan, kita menjadi lebih berusaha untuk mencuba,
sekurangnya, mengambil tahu tentang kebajikan anak anak kita sendiri.
Jangan terlalu lega hati merasakan anak
anak sudah tahu menjaga diri sendiri. Atas sebab sebab keselamatan ini jugalah,
kita sehingga ke hari ini sentiasa melalui hari hari yang sukar, mengenangkan
keadaan anak anak kita yang terpaksa kita tinggalkan dengan saudara mara untuk
dijaga semasa kita bekerja. Terus terang kita katakan, kadang kala memang
terasa yang kita sangat tidak rela dalam berjauhan dengan anak anak dan
meletakkan mereka di bawah jagaan orang lain wlaupun hanya untuk 9 jam
sehari.Tetapi semuanya dilakukan atas niat untuk memberikan kehidupan yang
lebih baik untuk keluarga kita.
Samalah dengan keengganan suami kita untuk
membenarkan anak kita menggunakan khidmat bas sekolah untuk pergi dan balik
dari sekolah. Disebabkan bimbang dengan keselamatan anak, suami sanggup
berulang alik, memandu sendiri di antara waktu kerja untuk menghantar dan
mengambil anak balik dari sekolah kemudian menghantar ke rumah penjaga.
Biarlah kita menjadi phobia. Tidak apa,
phobia itu paling baik dalam mengingatkan diri kita untuk sentiasa berjaga
jaga.
Terlalu banyak perkara negatif di luar sana
yang dapat memberikan impak yang tidak baik kepada anak anak zaman sekarang.
Bukan hendak mengata sesiapa tetapi di
kawasan kejiranan kita sendiri, suri rumah suri rumah sepenuh masa yang sangat
bertuah dapat menguruskan rumah dan anak anak sendiri tanpa perlu bersusah hati
untuk meninggalkan anak dengan orang lain untuk mencari nafkah, sering kali
lupa akan keberkatan mereka itu.
Sering kali kita melihat anak anak mereka
bermain sendirian di luar kawasan rumah, yang mana jalannya cuma 3 meter lebar,
dengan kenderaan yang kadang kala dipandu laju oleh segelintir manusia yang
tidak bertimbang rasa.
Ngeri kita nak memikirkan akibatnya
sekiranya anak anak ini dalam keasyikan bermain, lupa diri dan berlari ke
tengah jalan di saat sebuah kereta lalu. Kalau itu yang berlaku, siapa yang
harus kita persalahkan? Anak anak yang tidak mengerti apa apa ini ataupun
pemandu?
Atau haruskah kita menyalahkan ibubapa yang
kurang perhatiannya?
Sekiranya punya sesiapa untuk depersalahkan
pun, dimanakah kebaikannya? Bukankah semuanya sudah terlambat?
Dan beringatlah, lebih elok sekiranya
membawa anak anak beriadah di tempat yang sepatutnya, di taman permainan atau
sukan daripada di kawasan di depan pagar rumah anda, di mana kadang kala,
trafiknya boleh berubah menjadi sibuk sekelip mata.
Anak anak remaja juga, bukan bermaksud kita
boleh lepas tangan. Kita bukan sesiapa pun untuk menegur, cuma berkongsi
sekelumit pengetahuan untuk dikongsikan bersama agar dapat dijadikan panduan
demi anak anak. Kita tidak perlu menjadi ibubapa yang 'cool' memberikan segala
kemewahan yang anak anak kita inginkan untuk kepuasan mereka, cukuplah sekadar
kita menjadi penjaga yang bertanggungjawab dalam menentukan keselamatan mereka
diambil berat sepanjang masa.
Pernah sekali ketika kita sedang membawa
anak anak membeli belah di bandar, kita terserempak dengan sebuah keluarga, ibu
bapa dan 3 orang anak. Sedang hendak melintas jalan, si bapa meninggalkan
ketiga tiga anaknya dengan si ibu yang melintas di belakang si bapa tadi.
Tetapi dengan seorang anak kecil yang didukung , si ibu tadi tertinggal di
belakang bersama 3 anaknya. Anak kecil yang kedua, dalam lingkungan 5 tahun
pada pandangan kita, tiba tiba melepaskan tangan si ibu hendak mengejar si bapa
yang telah terlebih dahulu melintas di hadapan. Kebetulan sebuah kereta lalu,
namun nasib baik sempat berhenti sebelum melanggar budak tersebut dan
membunyikan hon, barulah si bapa menoleh ke belakang, dengan jeritan si ibu
yang tidak berdaya melihat kejadian tersebut.
Masa itu, kita sendiri terpaku dan menahan
nafas. Paling kita tidak setuju, lepas tu, si bapa tadi marah marah pulak
dengan si ibu.
Wajarkah...sebagai seorang lelaki yang
sepatutnya bertanggungjawab dalam menjaga keluarga kita cuma memikirkan diri
kita sendiri , membiarkan isteri dan anak anak kita ketinggalan di belakang
tanpa ambil tahu kebajikan mereka? Selepas itu, berani pulak nak marah marah
dengan si isteri yang telah bergelut untuk menguruskan anak anak seramai itu
sendirian? Mahu juga kita nak terbalikkan keadaan sekiranya dapat, biar si
suami tu pulak di tempat si isteri tadi.
Teringat pulak cerita suami kita, pernah
masa menghadiri suatu taklimat yang disertai beliau atas arahan pejabat. Suami
kita diminta pergi dengan seorang teman sepejabat untuk memenuhi jemputan.
kalau tak silap, masa tu taklimat tersebut berkenaan "jantina &
gender". Kira kira macam tu lah. Kita pun dah tak berapa ingat.
Semasa taklimat berlangsung, pemberi
taklimat sempat melibatkan peserta sama dalam ucapan beliau. Beliau bertanya
kepada peserta lelaki yang kebetulannya adalah teman sepejabat suami kita tadi.
Soalannya; "masa bercinta dulu, jalan
pegang tangan isteri..sekarang lepas kahwin ada tak pegang tangan
insteri?"
Dijawab lah si teman tadi "sekarang
jalan pegang tangan anak.."
Mungkin kedengaran lucu dan tidak patut,
sebabnya biasalah, si isteri memang suka kalau dimanja manja dari masa bercinta
sampai dah beranak pinak pun masih mesra berpegangan tangan.
Tetapi bila dilihat dari sudut lain pulak,
kita suka dengan jawapan tersebut. Tanggungjawab kita berubhg mengikut masa dan
keadaan. Kalau berjalan berduaan dengan isteri memang patut pun tangan isteri
yang dipegang tetapi kalau dengan anak yang 2 atau 3 orang, memang lebih patut
kalau suami memegang tangan anak, demi menjaga keselamatan anak. Tiada salahnya
di situ.
Dan dalam situasi begini, kita sebagai
seorang tak akan kisah pun tak berpegangan tangan dengan suami. Naluri seorang
ibu, anak anak yang paling utama.
Jadi, jangan sesekali mengambil mudah aspek
keselamatan keluarga kita. Kecil, besar anak kita, selagi mereka masih di dalam
jagaan kita, mereka adalah tanggungjawab kita, mereka bergantung harap kepada
kita untuk menjaga mereka.
Bayangkan, pernahkah terfikir sebuah lubang
najis yang selebar setengah meter dapat menyebabkan maut kepada sesiapa. Selalu
kita berjalan jalan di jalan raya sana, banyak juga lubang kumbahan najis ni
tetapi kita pasti, kebanyakan dari kita tidak terfikir bahayanya benda
tersebut. Sekarang dah berlaku perkara macam ni, nak salahkan perbandaran pun
tidak ada gunanya.
Jangan sesekali biarkan anak anak kita
berkeliaran sendirian. Sekiranya nak bermain tanpa diawasi, eloklah di dalam
kawasan pagar rumah.
Ajar anak anak seawal mereka dapat
memahaminya, jauhi orang yang tidak dikenali. Jangan menerima apa apa pemberian
dari orang yang tidak dikenali. Jangan biarkan anak anak menjawab ketukan pintu
dan membukanya tanpa mengenal pasti siapa terlebih dahulu.
Zaman sekarang ni, anak anak memang dah
terlebih canggih. Advance kata kawan kita.
Tetapi canggih canggihnya pun, tetap ada
tidak baiknya. Kita selalu tidak bersetuju dengan ibubapa yang membenarkan anak
anak memiliki telefon bimbit mereka sendiri selain dari untuk kegunaan
kecemasan dan penggunaan internet juga.
Cukuplah TV di rumah merosakkan minda anak
anak kita, ditambah pulak dengan handphone dan internet yang tiada batas
sosialnya.
Kenapa selalu nampak wajah wajah gadis
belasan tahun di muka akhbar di mana ibubapanya merayu untuk mereka pulang ke
rumah kerana mereka telah melarikan diri dari rumah dan tidak diketahui khabar
baritanya?
Melarikan diri dengan kekasih?
Bukankah elok sekiranya semuanya itu
ditegah dari mula? Mengapa anak anak di bawah umur 18 tahun perlu berkepit
dengan handphone? Apa perlunya mereka ada akaun facebook sendiri?
Mungkin ada yang tidak bersetuju dan
mengatakan yang kita berhasrat untuk mengekang pergaulan anak anak, mengekang
minda anak anak untuk berkembang. Tetapi persoalannya, kalau kita menjadikan
internet dan TV dan juga handphone sebagai sumber untuk kita bersosial, di mana
sihatnya perlakuan kita itu?
Mengapa perlu kita menghidangkan berita
berita dunia yang tidak elok di skrin TV untuk anak anak kita melihatnya?
Untuk mereka melihat betapa teruknya
keadaan dunia sekarang ini dengan permusuhan dan berbunuhan sesama sendiri?
Dengan memaparkan drama drama yang menghidang kisah ketamakan kuasa dan
kegilaan nafsu kepada anak anak kita?
Buku!!
Itu adalah sumber ilmu yang paling tua di
dunia. Segala peradaban di dunia dipelajari dari buku.
Mengapa, sangat jarang melihat ibubapa
membawa anak anak mereka pergi ke perpustakaan dan membaca bersama? Bukannya
cuma meninggalkan anak anak di muka pintu perpustakaan yang mana adalah suatu
tindakan yang tidak menjamin keselamatan anak anak.
Kita pun bukannya dapat mengamalkan semua
yang baik baik sebagai ibubapa tetapi kita mencuba untuk tidak mengikut acuan
yang tidak berapa baik. Selagi dapat beringat kita mengingatkan diri supaya
merubah diri menjadi insan yang lebih baik agar menjadi teladan kepada anak
anak.
Kita insan biasa, anak anak kita pun sama.
Semua punya keinginan tetapi perlu jugak dikekang sedikit agar tidak melampaui
yang sepatutnya. Mungkin sebab kita bukan orang berada, kita sentiasa
menerapkan dengan anak anak supaya tidak meminta berlebihan.
Kita jugak beri kelonggaran untuk anak anak
menonton TV di rumah dan sesekali bermain video game, tetapi sekurangnya, kita
bersama anak anak melakukannya dan jangan melakukannya berlebihan. Tetapkan
had.
Bak kata Dog Whisperer, Cesar Milan
"mendisiplinkan bukan menganiaya, memanjakan sehingga merosakkan barulah
menganiaya.
Sekali sekala kita pun bawa anak anak ke
perpustakaan walaupun mereka baru belajar mengenal suku kata. Cuma untuk
memperkenalkan mereka dengan dunia ilmu. Selalu kita datang ke rumah orang
orang yang dikategorikan sebagai orang berada, perabot dan hiasan cantik cantik
dan mahal mahal belaka, tetapi buku? Tiada rak buku atau ruang membaca, apatah
lagi bukunya.
Mungkin kedengaran melalut tetapi ini
adalah kebenaran. Topik kita adalah keselamatan anak anak, yang sepatutnya
bermula dari ibubapa, kemudian diterapkan dengan cara yang betul kepada anak
anak.
Jangan mengambil mudah segala tanggungjawab
sebagai ibubapa. sistem keselamatan yang paling baik dan berkesan adalah
melalui pendidikan yang betul. Didik anak anak dengan contoh yang betul,
terapkan nilai nilai yang dapat menjadikan semuanya manusia yang baik, mudah
mudahan, tidak ada lagi hati hati kejam yang bermaharajalela.
Mungkin sekiranya kita lebih bersyukur
dengan apa yang kita miliki, barulah kita lebih menghargai apa saja milik kita.
Sekali lagi, kita bukanlah ibubapa yang
paling baik cuma coretan ini untuk kita berkongsi sedikit pengetahuan tentang
perkara ini. Yang baik baik itu datang nya dari Tuhan yang kita percaya, segala
yang silap adalah perbuatan kita.
Sehingga bertemu kembali, sayangi dan hargai
mereka yang berada di sisi anda setiap hari. Anak anak yang ceria hasil dari
ibubapa yang ceria.
Salam....