Aduhh…bangga melihat anak anak muda kita
sekarang semakin peka dengan permasalahan masyarakat dan Negara. Semakin berani
menyuarakan pendapat mereka. TETAPI, sedih dan kecewalah kita sebab dengan
mencapai tujuan mereka untuk berjuang tu, telinga dan mata kita sakitlah pulak
dengan bahasa bahasa dan tuturkata yang digunakan, baik di dalam laman internet
ataupun secara lisan.
Sedih…sebab bukan ini yang kita jangkakan
dari generasi muda kita. Memang kita berbangga kalau generasi muda ni dah petah
dalam mempertahankan bangsa dan orang orang mereka tetapi haruskah menggunakan
cara sebegini? Dengan menyumpah seranah dan berkata kesat?
Di manakah budaya bangsa kita yang terkenal
dengan kesopanan baik dari segi perlakuan dan tutur kata. Seandainya mereka ini
yang kita harapkan untuk menjadi pengganti dalam pucuk pimpinan negara kita,
adakah kita mahu pemimpin yang berbahasa kesat? Yang sepanjang masa menyumpah
dan memburukkan peribadi orang lain untuk mencapai tujuan mereka?
Politik memang lah dah kotor, janganlah
kita mengotorkan diri kita pulak dengan perangai perangai yang tidak dapat
diterima sebegini. Betapa sedihnya ibu bapa kita bila dapat tahu yang kita
sebagai anak yang mereka didik semenjak kecil untuk berkata yang baik baik dan
menghormati, menjadi sebegini kurang ajar?
Kita memang tidak selesa sudah dengan senario
yang semakin hari semakin tenat kita lihat. Muda mudi yang diberikan kebebasan
bersuara, menyalahgunakan kebebasan itu dengan berperangai yang tidak
sepatutnya.
Menghina peribadi seseorang bukan budaya
orang bijak pandai. Tak perlu nak menjatuhkan maruah orang lain dalam mendapat
apa yang kita mahu. Masyarakat tidak buta menilai. Dalam kita memperjuangkan
apa yang kita percayai, jangan lupa diri kita sebagai seorang manusia yang
sepatutnya berpegang teguh dengan kepercayaan kita terhadap dosa dan pahala.
Dengan menghormati Tuhan kita, yang kita masing masing percaya. Tiada satu agama
pun yang membolehkan pengikutnya untuk berlaku kejam dan tidak bermoral. Semua
agama yang kita fahami sedikit sebanyak tentang prinsipnya, menyeru semua
manusia untuk berbuat baik sesama manusia. Tiada agama yang membenarkan
seseorang itu untuk menghina orang lain disebabkan kepercayaannya.
Apakah yang kita ingin pamerkan dengan
berkelakuan biadap dan berbahasa kesat sebegini? Adakah dengan berkelakuan
sebegini, kita akan dapat menarik ramai pengikut untuk apa yang kita percaya?
Kepada pemimpin pemimpin dan ahli politik
di luar sana, walau sepenting mana pun kedudukan anda di dalam kancah politik
ini, janganlah sehingga mengheret anak anak muda kita ke kancah yang kotor dan
hina ini. Adakah ini sifat seorang pemimpin dengan menanamkan perasaan benci di
kalangan muda mudi yang sepatutnya kita pimpin ke arah yang betul ini?
Terfikir juga kita, sekiranya kita sekarang
ditempur, apakah keberanian generasi muda mudi kita untuk bertempur ini sama
kuatnya dengan keberanian mereka untuk mengutuk sesama sendiri dalam
mempertahankan fahaman politik mereka?
Teringat kata kata seorang bekas tentera
zaman komunisme dulu “dulu negara porak peranda, kita berjuang untuk keamanan,
sekarang negara dah aman, kita berjuang pulak untuk memporak perandakan negara.”
Mungkin ada benarnya kata kata itu.
Mengapa begitu sukar untuk kita bersyukur
dengan keamanan yang kita kecapi? Nak sangat berjuang? Pergi berjuang di
Palestin sana. Nak sangat berbakti? Pergi pertahankan nasib anak anak
yatim, bela nasib ibu ibu tunggal. Itu pun perjuangan, bahkan perjuangan yang
sangat mulia sebab tak payah nak menjerit jerit memburukkan perihal orang lain.
Atau berjuang untuk memajukan hidup keluarga sendiri, cari kerja, tolong mak
bapak bina rumah, sekolahkan adik adik.
Kita bukan marah diaorang ni ada bakat
dalam politik, tidak sama sekali. Bahkan kita bangga sebab mereka punya
pendapat mereka sendiri, yang kita tidak suka adalah cara mereka. Tak perlu nak
panggil orang lain ‘babi’ kalau bagi diri kita babi tu kotor. Lagi jugak nak
mencarut carut kat internet sana.
Apakata kita lihat semua golongan bijak
pandai kat dunia luar sana. Pernahkah mereka memanggil orang lain ‘babi’?
Pernahkah mereka menghina peribadi orang lain dan memburukkan orang lain?
Bahkan perangai sedemikian digambarkan sebagai perangai manusia yang tidak
punya pengetahuan, cetek akal. Adakah kita mahu dikenali sebagai generasi yang
cetek akal? Kalau ya, adakah sesiapa yang ingin dipimpin oleh pemimpin yang
cetek akal?
Memang meletihkan kebelakangan ini
dicanangkan dengan perkara perkara yang tidak baik untuk dilihat.
Berpiket, berhimpun untuk menegakkan
pendapat, tidak ada salahnya. Kita sendiri menyokong kuat hak kebebasan
bersuara, tetapi kalau sehingga tahap menyusahkan dan menimbulkan huru hara,
adakah itu yang kita inginkan? Apa baiknya dalam semua tu? Adakah tujuan kita
tercapai dengan berlaku ganas dan tidak rasional?
Entahlah..memang kita hairan. Mengapa kita
harus merendahkan diri kita sendiri sehingga sebegitu rupa. Apakah pandangan
masyarakat luar apabila dihidangkan dengan berita sedemikian rupa yang berlaku
di dalam negara kita?
Masyarakat kita, masyarakat berbudi,
tunjukkan itu kepada dunia luar. Biarlah kita dihormati kerana berbisik perkara
yang baik daripada kita dikenali kerana ‘bakat’ kita menjerit jerit perkara
perkara yang memalukan.
Dan untuk semua ahli politik dan pemimpin
di luar sana, please…..janganlah terus terusan merosakkan minda generasi muda
kita dengan tamak haloba kalian. Menghina, mencarut dan menyumpah, di manakah
kita belajar semua ini.
Apa apa pun, kita amat berharap, biarlah
kita bersederhana dalam cara kita. Tidak perlu terlalu taksub dengan
kepercayaan kita, sebab kita hidup di antara masyarakat yang pelbagai agama,
kaum dan fahaman politik. Berkongsi lebih membawa kebaikan bukannya bertelagah.
~ malas nak mengundi kecewa dengan senario
politik negara~
No comments:
Post a Comment