Thursday, July 19, 2012

Bila Dunia Lupa Diri….


Awal pagi ini saya ternampak sebuah sharing dari seorang teman di facebook saya berkenaan dengan krisis di Myanmar yang semakin teruk nampaknya. Perkara ini telahpun berlarutan dalam beberapa bulan kebelakangan ini sehingga menyebabkan ramai manusia yang tidak berdosa yang menjadi mangsa dan korban. Kanak kanak yang tidak tahu apa apa terpaksa hidup sengsara dan melupakan kenikmatan hidup sebagai seorang kanak kanak disebabkan tindakan segelintir manusia yang begitu munafik dengan menganggap manusia lain adalah tidak layak untuk hidup bersama mereka di atas muka bumi ini. Sebagai seorang kristian pun saya sangat tidak bersetuju dengan perkara ini walaupun yang dikejami itu bukan yang seagama dengan saya tetapi mereka tetap manusia yang diciptakan oleh Pencipta kita. Sekiranya Dia sudahpun mencipta kita bersama sebagai manusia, atas sebab apakah kita menidakkan kehadiran mereka?



kaum muslim Rohingya yang merupakan mangsa kezaliman terbaru dunia

 
Tiada manusia yang patut dizalimi hanya kerana kepercayaan dan gaya hidup mereka yang berbeza. Bahkan dalam ajaran Injil untuk penganut kirstian pun tidak pernah kita mendengar bahwa Tuhan menzalimi manusia yang berdosa, bahkan Dia mengampuni dan mengasihi serta memberikan mereka peluang untuk kembali ke jalan yang benar. Dan disebabkan kasih sayang inilah, Tuhan telah mengutuskan anak tunggal sebagai penyelamat dunia, tetapi kita sebagai manusia telah buta oleh keangkuhan kita sendiri dan menafikan kehadiran Jesus sebagai penyelamat kita.

Jadi tanyalah diri kita sendiri, bila Tuhan itu sendiri berkata bahawa setiap kita adalah sama, siapakah yang memberikan hak dan kuasa kepada kita untuk mengadili dan menghukum manusia lain yang kita fikirkan adalah tidak layak untuk hidup bersama kita? Itu adalah kejahilan namanya. Semua agama di dunia ini menuntut umatnya untuk berbuat baik sesame manusia, tidak pernah sekalipun saya mendapat tahu tentang agama yang mengarahkan umatnya untuk berbunuhan sesama mereka dan membenci satu sama lain. Yang membezakan kita adalah amalan dan perlakuan kita terhadap manusia yang lain. Jadi di manakah kebaikannya sekiranya kita berlaku kejam terhadap manusia yang lain? Apakah manfaatnya yang kita dapat dengan menghukum manusia lain yang kita lihat sebagai manusia yang berdosa? Adakah kita lupa bahawa Tuhan itu yang Maha Berkuasa? Dia yang sepatutnya mengadili dan menghukum kita? 

Panduan apakah yang kita gunakan untuk mengadili manusia yang lain? Adakah kita yang melantik diri sebagai Tuhan dengan mengadili manusia lain adalah tidak berdosa? Adakah kita dijanjikan tempat yang sempurna di syurga setelah berlaku zalim dengan manusia yang lain yang tidak berdaya?

Ajaran agama kita menuntut untuk kita menjadi manusia yang lebih berpengetahuan dan lebih bertamadun, dengan melayan satu sama lain dengan kasih sayang. Mengapa bukan itu yang kita lakukan? Adakah begitu sukar untuk menerima manusia lain untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kita? Mengapa begitu sukar untuk membersihkan jiwa kita dan berdoa  yang baik baik untuk setiap manusia di dunia?

 
Sekiranya harta benda itu begitu penting kepada kita, di manakah tempatnya untuk semua itu di akhirnya nanti? Berapa keranda yang kita perlukan untuk mengangkut semua harta harta kita untuk mati bersama kita? Dan adakah kita pasti kita akan dikuburkan bersama harta harta itu di hari kematian kita? Atau mungkinkah harta harta dunia itu nantinya akan lebih memudaratkan?

Berfikirlah wahai  manusia…kita dikurniakan dengan akal fikiran untuk digunakan bukan sekadar untuk melengkapi anggota badan kita. Gunakanlah pertimbangan yang sewajarnya di dalam setiap perlakuan dan tindakan kita. Kurangkan menyakiti hati dan perasaan orang lain, bermula dengan berdoa setiap kali kita berasa marah atau iri hati kepada orang lain. Minta keberkatan kepada Tuhan untuk memberikan kedamaian kepada jiwa kita agar kita tidak meragui sebarang kebaikan yang harus kita lakukan.

Sekiranya mampu, bantulah insane lain yang memerlukan. Mengapa kita senang hati menunjuk nunjuk kemewahan kita tetapi berat hati untuk menggunakannya demi kebaikan orang lain? Begitu banyak cara untuk kita membantu dengan berkongsi kebaikan, bahkan kadang kala, mendoakan orang lain juga adalah salah satu cara kita untuk menyumbang.

 

Ingatlah bahawa, kita diberi keberkatan untuk hidup di dunia ini dengan kesihatan yang baik, dengan pekerjaan yang baik dengan keluarga dan rakan rakan di sekeliling kita. Sentiasalah bersyukur dan merendah diri di atas semua ini kerana ia adalah pemberian dari Tuhan. Hargai semuanya ini dengan bersifat rendah hati dan berbuat baik kepada orang lain.

Lari jauh dari hasad dengki dan amarah yang boleh menyakiti orang lain. Walau apa pun kepercayaan kita, tidak perlu untuk mendongak dan mencanang kepada dunia bahawa kita adalah yang terbaik, kita adalah yang paling betul. Bagai mana kita hendak tahu yang kepercayaan orang lain adalah salah apabila kita sendiri yang merasakn diri lebih baik berlaku sebaliknya? Usah mendabik dada dengan pengetahuan yang kita ada, cukuplah dengan mempraktikkan segala yang baik itu untuk dikongsi bersama.

 

Janganlah kita mudah lupa oleh kesenangan dunia kerana semuanya cuma luaran semata mata. Hiduplah kita dengan hati yang tenang dengan menjauhkan diri dari segala pemikiran yang buruk. Beringatlah untuk berdoa biarpun selintas lalu apabila berhadapan dengan kesukaran dan merasakan diri kita lemah kerana Tuhan sentiasa ada di samping kita untuk mendengar.

Akhir sekali saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan di atas segala yang dikurniakan kepada saya selama ini. Mungkin bagi sesetengah orang apa yang saya ada cuma sekelumit sahaja tetapi bagi saya, ia tetap anugerah kerna ramai lagi manusia di luar sana yang serba kekurangan. Begitu juga saya amat berharap agar dunia ini diberkati dengan keamanan, manusia saling mengasihi sesame mereka dan menggunakan akal fikiran mereka untuk perkara perkara yang mendatangkan kebaikan kepada manusia yang lain. Hanya dengan berlatih memberi kita dapat mengurangkan keangkuhan diri.

Sekian, sehingga bertemu lagi, jauhi segala benci dan hasad dengki, hiduplah dengan penuh kasih sayang.