Awal pagi ini saya ternampak sebuah sharing
dari seorang teman di facebook saya berkenaan dengan krisis di Myanmar yang
semakin teruk nampaknya. Perkara ini telahpun berlarutan dalam beberapa bulan
kebelakangan ini sehingga menyebabkan ramai manusia yang tidak berdosa yang
menjadi mangsa dan korban. Kanak kanak yang tidak tahu apa apa terpaksa hidup
sengsara dan melupakan kenikmatan hidup sebagai seorang kanak kanak disebabkan
tindakan segelintir manusia yang begitu munafik dengan menganggap manusia lain
adalah tidak layak untuk hidup bersama mereka di atas muka bumi ini. Sebagai
seorang kristian pun saya sangat tidak bersetuju dengan perkara ini walaupun
yang dikejami itu bukan yang seagama dengan saya tetapi mereka tetap manusia
yang diciptakan oleh Pencipta kita. Sekiranya Dia sudahpun mencipta kita
bersama sebagai manusia, atas sebab apakah kita menidakkan kehadiran mereka?
kaum muslim Rohingya yang merupakan mangsa kezaliman terbaru dunia |
Tiada manusia yang patut dizalimi hanya
kerana kepercayaan dan gaya hidup mereka yang berbeza. Bahkan dalam ajaran
Injil untuk penganut kirstian pun tidak pernah kita mendengar bahwa Tuhan
menzalimi manusia yang berdosa, bahkan Dia mengampuni dan mengasihi serta
memberikan mereka peluang untuk kembali ke jalan yang benar. Dan disebabkan
kasih sayang inilah, Tuhan telah mengutuskan anak tunggal sebagai penyelamat
dunia, tetapi kita sebagai manusia telah buta oleh keangkuhan kita sendiri dan
menafikan kehadiran Jesus sebagai penyelamat kita.
Jadi tanyalah diri kita sendiri, bila Tuhan
itu sendiri berkata bahawa setiap kita adalah sama, siapakah yang memberikan
hak dan kuasa kepada kita untuk mengadili dan menghukum manusia lain yang kita
fikirkan adalah tidak layak untuk hidup bersama kita? Itu adalah kejahilan
namanya. Semua agama di dunia ini menuntut umatnya untuk berbuat baik sesame manusia,
tidak pernah sekalipun saya mendapat tahu tentang agama yang mengarahkan
umatnya untuk berbunuhan sesama mereka dan membenci satu sama lain. Yang
membezakan kita adalah amalan dan perlakuan kita terhadap manusia yang lain.
Jadi di manakah kebaikannya sekiranya kita berlaku kejam terhadap manusia yang
lain? Apakah manfaatnya yang kita dapat dengan menghukum manusia lain yang kita
lihat sebagai manusia yang berdosa? Adakah kita lupa bahawa Tuhan itu yang Maha
Berkuasa? Dia yang sepatutnya mengadili dan menghukum kita?
Panduan apakah yang kita gunakan untuk
mengadili manusia yang lain? Adakah kita yang melantik diri sebagai Tuhan
dengan mengadili manusia lain adalah tidak berdosa? Adakah kita dijanjikan
tempat yang sempurna di syurga setelah berlaku zalim dengan manusia yang lain
yang tidak berdaya?
Ajaran agama kita menuntut untuk kita
menjadi manusia yang lebih berpengetahuan dan lebih bertamadun, dengan melayan
satu sama lain dengan kasih sayang. Mengapa bukan itu yang kita lakukan? Adakah
begitu sukar untuk menerima manusia lain untuk duduk sama rendah dan berdiri
sama tinggi dengan kita? Mengapa begitu sukar untuk membersihkan jiwa kita dan
berdoa yang baik baik untuk setiap
manusia di dunia?
Sekiranya harta benda itu begitu penting
kepada kita, di manakah tempatnya untuk semua itu di akhirnya nanti? Berapa
keranda yang kita perlukan untuk mengangkut semua harta harta kita untuk mati
bersama kita? Dan adakah kita pasti kita akan dikuburkan bersama harta harta
itu di hari kematian kita? Atau mungkinkah harta harta dunia itu nantinya akan
lebih memudaratkan?
Berfikirlah wahai manusia…kita dikurniakan dengan akal fikiran
untuk digunakan bukan sekadar untuk melengkapi anggota badan kita. Gunakanlah pertimbangan
yang sewajarnya di dalam setiap perlakuan dan tindakan kita. Kurangkan
menyakiti hati dan perasaan orang lain, bermula dengan berdoa setiap kali kita
berasa marah atau iri hati kepada orang lain. Minta keberkatan kepada Tuhan
untuk memberikan kedamaian kepada jiwa kita agar kita tidak meragui sebarang
kebaikan yang harus kita lakukan.
Sekiranya mampu, bantulah insane lain yang
memerlukan. Mengapa kita senang hati menunjuk nunjuk kemewahan kita tetapi
berat hati untuk menggunakannya demi kebaikan orang lain? Begitu banyak cara
untuk kita membantu dengan berkongsi kebaikan, bahkan kadang kala, mendoakan
orang lain juga adalah salah satu cara kita untuk menyumbang.
Ingatlah bahawa, kita diberi keberkatan
untuk hidup di dunia ini dengan kesihatan yang baik, dengan pekerjaan yang baik
dengan keluarga dan rakan rakan di sekeliling kita. Sentiasalah bersyukur dan
merendah diri di atas semua ini kerana ia adalah pemberian dari Tuhan. Hargai
semuanya ini dengan bersifat rendah hati dan berbuat baik kepada orang lain.
Lari jauh dari hasad dengki dan amarah yang
boleh menyakiti orang lain. Walau apa pun kepercayaan kita, tidak perlu untuk
mendongak dan mencanang kepada dunia bahawa kita adalah yang terbaik, kita
adalah yang paling betul. Bagai mana kita hendak tahu yang kepercayaan orang
lain adalah salah apabila kita sendiri yang merasakn diri lebih baik berlaku
sebaliknya? Usah mendabik dada dengan pengetahuan yang kita ada, cukuplah
dengan mempraktikkan segala yang baik itu untuk dikongsi bersama.
Janganlah kita mudah lupa oleh kesenangan
dunia kerana semuanya cuma luaran semata mata. Hiduplah kita dengan hati yang
tenang dengan menjauhkan diri dari segala pemikiran yang buruk. Beringatlah untuk
berdoa biarpun selintas lalu apabila berhadapan dengan kesukaran dan merasakan
diri kita lemah kerana Tuhan sentiasa ada di samping kita untuk mendengar.
Akhir sekali saya ingin memanjatkan
kesyukuran kepada Tuhan di atas segala yang dikurniakan kepada saya selama ini.
Mungkin bagi sesetengah orang apa yang saya ada cuma sekelumit sahaja tetapi
bagi saya, ia tetap anugerah kerna ramai lagi manusia di luar sana yang serba
kekurangan. Begitu juga saya amat berharap agar dunia ini diberkati dengan keamanan,
manusia saling mengasihi sesame mereka dan menggunakan akal fikiran mereka
untuk perkara perkara yang mendatangkan kebaikan kepada manusia yang lain.
Hanya dengan berlatih memberi kita dapat mengurangkan keangkuhan diri.
Sekian, sehingga bertemu lagi, jauhi segala
benci dan hasad dengki, hiduplah dengan penuh kasih sayang.
Teruskan berblog anda..
ReplyDeleteMr.J
http://www.pengerindu.com
thank you Mr Jacky..really appreciate it that someone is reading =) God bless.
ReplyDelete