Thursday, March 22, 2012

KESELAMATAN MEREKA DAN TANGGUNGJAWAB KITA






Notis : Entry ini telah ditulis sebelum gadis yang dikatakan diculik di Kuantan tersebut ditemui dan mengaku yang dia bukan diculik sebaliknya dengan rela hati mengikut teman lelakinya tinggal di kediaman keluarga lelaki tersebut. Mungkin lain kali kita akan menulis tentang itu pulak.

Kebelakangan ini banyak betul berita tentang kehilangan dan kematian anak anak yang tidak berdaya. Setiap kali kita melihat perkara sebegini, terus kita teringatkan anak anak kita yang masih kecil dan mentah itu. Betapa remuknya hati ibubapa yang kehilangan anak anak mereka, tidak dapat kita bayangkan.

Tidak mungkin akan dapat difahami oleh orang lain melainkan mereka yang mengalami musibah tersebut.

Kita amat bersimpati dengan kematian Dirang yang mayatnya ditemui di dalam keadaan yang menyayat hati. Dalam pada itu, kita juga berasa lega sekurang kurangnya, bukan bapa kandungnya sendiri yang melakukannya, walaupun pada mulanya kita sendiri pun keliru dengan berita tangkapannya sebagai seorang suspek.

Sampai begitu sekalikah kekejaman di hati manusia. Di manakah kemungkinan batasnya kejahatan mahkluk yang dikurniakan akal fikiran ini. Kita memang tidak faham.  Tidak dapat dijangkau oleh akal fikiran kita mengapa harus seseorang menyakiti anak ini sebegitu sekali.

Beberapa hari kemudian, terbaca pulak berita seorang anak yang ditemui lemas di sebuah taman rekreasi. Kemudiannya, terpampang pulak berita mengenai seorang anak kecil yang ditemui mati lemas di dalam kolam  najis ketika sedang bermain basikal.

Dan semalam, berita tentang seorang remaja 14 tahun yang diculik kemudian di larikan ke Thailand untuk didagangkan sebagai pelacur. Mujurlah remaja tersebut dapat meloloskan diri dan sekarang telah selamat berada bersama keluarganya. Itu yang kita tahu melalui akhbar.
 
Dan awal pagi ini, semasa melayani laman facebook kita, teserempak pulak dengan sharing seorang teman tentang seorang lagi anak gadis belasan tahun yang dilarikan ketika di dalam perjalanan pulang ke rumahnya bersama 2 orang adiknya, sekembali dari membeli 'reload coupon'. Di tengah perjalanan pulang ke rumah!! Dipaksa masuk ke dalam sebuah kereta, di depan adik adiknya sendiri yang tidak berdaya untuk membantu.

Tiada lagikah tempat yang selamat untuk anak anak kita sekarang ini?  Sebimbang manakah seharusnya kita sebagai ibubapa?


Bagi kita, harus bimbang tahap maksima!

Hanya kebimbangan yang dapat membuatkan kita lebih prihatin dan berjaga jaga. Jangan sesekali ambil mudah keselamatan anak anak kita.  Jangan terlampau asyik dengan kegiatan sendiri sehinggakan anak anak kita dilupakan. Sesekali tanya diri sendiri, di manakah anak saya ketika ini, apakah yang sedang dia lakukan. Dengan ini mudah mudahan, kita menjadi lebih berusaha untuk mencuba, sekurangnya, mengambil tahu tentang kebajikan anak anak kita sendiri.

Jangan terlalu lega hati merasakan anak anak sudah tahu menjaga diri sendiri. Atas sebab sebab keselamatan ini jugalah, kita sehingga ke hari ini sentiasa melalui hari hari yang sukar, mengenangkan keadaan anak anak kita yang terpaksa kita tinggalkan dengan saudara mara untuk dijaga semasa kita bekerja. Terus terang kita katakan, kadang kala memang terasa yang kita sangat tidak rela dalam berjauhan dengan anak anak dan meletakkan mereka di bawah jagaan orang lain wlaupun hanya untuk 9 jam sehari.Tetapi semuanya dilakukan atas niat untuk memberikan kehidupan yang lebih baik untuk keluarga kita.

Samalah dengan keengganan suami kita untuk membenarkan anak kita menggunakan khidmat bas sekolah untuk pergi dan balik dari sekolah. Disebabkan bimbang dengan keselamatan anak, suami sanggup berulang alik, memandu sendiri di antara waktu kerja untuk menghantar dan mengambil anak balik dari sekolah kemudian menghantar ke rumah penjaga.

Biarlah kita menjadi phobia. Tidak apa, phobia itu paling baik dalam mengingatkan diri kita untuk sentiasa berjaga jaga.

Terlalu banyak perkara negatif di luar sana yang dapat memberikan impak yang tidak baik kepada anak anak zaman sekarang.


Bukan hendak mengata sesiapa tetapi di kawasan kejiranan kita sendiri, suri rumah suri rumah sepenuh masa yang sangat bertuah dapat menguruskan rumah dan anak anak sendiri tanpa perlu bersusah hati untuk meninggalkan anak dengan orang lain untuk mencari nafkah, sering kali lupa akan keberkatan mereka itu.

Sering kali kita melihat anak anak mereka bermain sendirian di luar kawasan rumah, yang mana jalannya cuma 3 meter lebar, dengan kenderaan yang kadang kala dipandu laju oleh segelintir manusia yang tidak bertimbang rasa.

Ngeri kita nak memikirkan akibatnya sekiranya anak anak ini dalam keasyikan bermain, lupa diri dan berlari ke tengah jalan di saat sebuah kereta lalu. Kalau itu yang berlaku, siapa yang harus kita persalahkan? Anak anak yang tidak mengerti apa apa ini ataupun pemandu?

Atau haruskah kita menyalahkan ibubapa yang kurang perhatiannya?

Sekiranya punya sesiapa untuk depersalahkan pun, dimanakah kebaikannya? Bukankah semuanya sudah terlambat?

Dan beringatlah, lebih elok sekiranya membawa anak anak beriadah di tempat yang sepatutnya, di taman permainan atau sukan daripada di kawasan di depan pagar rumah anda, di mana kadang kala, trafiknya boleh berubah menjadi sibuk sekelip mata.


Anak anak remaja juga, bukan bermaksud kita boleh lepas tangan. Kita bukan sesiapa pun untuk menegur, cuma berkongsi sekelumit pengetahuan untuk dikongsikan bersama agar dapat dijadikan panduan demi anak anak. Kita tidak perlu menjadi ibubapa yang 'cool' memberikan segala kemewahan yang anak anak kita inginkan untuk kepuasan mereka, cukuplah sekadar kita menjadi penjaga yang bertanggungjawab dalam menentukan keselamatan mereka diambil berat sepanjang masa.

Pernah sekali ketika kita sedang membawa anak anak membeli belah di bandar, kita terserempak dengan sebuah keluarga, ibu bapa dan 3 orang anak. Sedang hendak melintas jalan, si bapa meninggalkan ketiga tiga anaknya dengan si ibu yang melintas di belakang si bapa tadi. Tetapi dengan seorang anak kecil yang didukung , si ibu tadi tertinggal di belakang bersama 3 anaknya. Anak kecil yang kedua, dalam lingkungan 5 tahun pada pandangan kita, tiba tiba melepaskan tangan si ibu hendak mengejar si bapa yang telah terlebih dahulu melintas di hadapan. Kebetulan sebuah kereta lalu, namun nasib baik sempat berhenti sebelum melanggar budak tersebut dan membunyikan hon, barulah si bapa menoleh ke belakang, dengan jeritan si ibu yang tidak berdaya melihat kejadian tersebut.

Masa itu, kita sendiri terpaku dan menahan nafas. Paling kita tidak setuju, lepas tu, si bapa tadi marah marah pulak dengan si ibu.

Wajarkah...sebagai seorang lelaki yang sepatutnya bertanggungjawab dalam menjaga keluarga kita cuma memikirkan diri kita sendiri , membiarkan isteri dan anak anak kita ketinggalan di belakang tanpa ambil tahu kebajikan mereka? Selepas itu, berani pulak nak marah marah dengan si isteri yang telah bergelut untuk menguruskan anak anak seramai itu sendirian? Mahu juga kita nak terbalikkan keadaan sekiranya dapat, biar si suami tu pulak di tempat si isteri tadi.

Teringat pulak cerita suami kita, pernah masa menghadiri suatu taklimat yang disertai beliau atas arahan pejabat. Suami kita diminta pergi dengan seorang teman sepejabat untuk memenuhi jemputan. kalau tak silap, masa tu taklimat tersebut berkenaan "jantina & gender". Kira kira macam tu lah. Kita pun dah tak berapa ingat.

Semasa taklimat berlangsung, pemberi taklimat sempat melibatkan peserta sama dalam ucapan beliau. Beliau bertanya kepada peserta lelaki yang kebetulannya adalah teman sepejabat suami kita tadi.

Soalannya; "masa bercinta dulu, jalan pegang tangan isteri..sekarang lepas kahwin ada tak pegang tangan insteri?"

Dijawab lah si teman tadi "sekarang jalan pegang tangan anak.."

Mungkin kedengaran lucu dan tidak patut, sebabnya biasalah, si isteri memang suka kalau dimanja manja dari masa bercinta sampai dah beranak pinak pun masih mesra berpegangan tangan.

Tetapi bila dilihat dari sudut lain pulak, kita suka dengan jawapan tersebut. Tanggungjawab kita berubhg mengikut masa dan keadaan. Kalau berjalan berduaan dengan isteri memang patut pun tangan isteri yang dipegang tetapi kalau dengan anak yang 2 atau 3 orang, memang lebih patut kalau suami memegang tangan anak, demi menjaga keselamatan anak. Tiada salahnya di situ.

Dan dalam situasi begini, kita sebagai seorang tak akan kisah pun tak berpegangan tangan dengan suami. Naluri seorang ibu, anak anak yang paling utama.

Jadi, jangan sesekali mengambil mudah aspek keselamatan keluarga kita. Kecil, besar anak kita, selagi mereka masih di dalam jagaan kita, mereka adalah tanggungjawab kita, mereka bergantung harap kepada kita untuk menjaga mereka.

Bayangkan, pernahkah terfikir sebuah lubang najis yang selebar setengah meter dapat menyebabkan maut kepada sesiapa. Selalu kita berjalan jalan di jalan raya sana, banyak juga lubang kumbahan najis ni tetapi kita pasti, kebanyakan dari kita tidak terfikir bahayanya benda tersebut. Sekarang dah berlaku perkara macam ni, nak salahkan perbandaran pun tidak ada gunanya.

Jangan sesekali biarkan anak anak kita berkeliaran sendirian. Sekiranya nak bermain tanpa diawasi, eloklah di dalam kawasan pagar rumah.

Ajar anak anak seawal mereka dapat memahaminya, jauhi orang yang tidak dikenali. Jangan menerima apa apa pemberian dari orang yang tidak dikenali. Jangan biarkan anak anak menjawab ketukan pintu dan membukanya tanpa mengenal pasti siapa terlebih dahulu.

Zaman sekarang ni, anak anak memang dah terlebih canggih. Advance kata kawan kita.

Tetapi canggih canggihnya pun, tetap ada tidak baiknya. Kita selalu tidak bersetuju dengan ibubapa yang membenarkan anak anak memiliki telefon bimbit mereka sendiri selain dari untuk kegunaan kecemasan dan penggunaan internet juga.

Cukuplah TV di rumah merosakkan minda anak anak kita, ditambah pulak dengan handphone dan internet yang tiada batas sosialnya.

Kenapa selalu nampak wajah wajah gadis belasan tahun di muka akhbar di mana ibubapanya merayu untuk mereka pulang ke rumah kerana mereka telah melarikan diri dari rumah dan tidak diketahui khabar baritanya?

Melarikan diri dengan kekasih?

Bukankah elok sekiranya semuanya itu ditegah dari mula? Mengapa anak anak di bawah umur 18 tahun perlu berkepit dengan handphone? Apa perlunya mereka ada akaun facebook sendiri?

Mungkin ada yang tidak bersetuju dan mengatakan yang kita berhasrat untuk mengekang pergaulan anak anak, mengekang minda anak anak untuk berkembang. Tetapi persoalannya, kalau kita menjadikan internet dan TV dan juga handphone sebagai sumber untuk kita bersosial, di mana sihatnya perlakuan kita itu?
Mengapa perlu kita menghidangkan berita berita dunia yang tidak elok di skrin TV untuk anak anak kita melihatnya?

Untuk mereka melihat betapa teruknya keadaan dunia sekarang ini dengan permusuhan dan berbunuhan sesama sendiri? Dengan memaparkan drama drama yang menghidang kisah ketamakan kuasa dan kegilaan nafsu kepada anak anak kita?

Buku!!

Itu adalah sumber ilmu yang paling tua di dunia. Segala peradaban di dunia dipelajari dari buku.

Mengapa, sangat jarang melihat ibubapa membawa anak anak mereka pergi ke perpustakaan dan membaca bersama? Bukannya cuma meninggalkan anak anak di muka pintu perpustakaan yang mana adalah suatu tindakan yang tidak menjamin keselamatan anak anak.



Kita pun bukannya dapat mengamalkan semua yang baik baik sebagai ibubapa tetapi kita mencuba untuk tidak mengikut acuan yang tidak berapa baik. Selagi dapat beringat kita mengingatkan diri supaya merubah diri menjadi insan yang lebih baik agar menjadi teladan kepada anak anak.

Kita insan biasa, anak anak kita pun sama. Semua punya keinginan tetapi perlu jugak dikekang sedikit agar tidak melampaui yang sepatutnya. Mungkin sebab kita bukan orang berada, kita sentiasa menerapkan dengan anak anak supaya tidak meminta berlebihan.

Kita jugak beri kelonggaran untuk anak anak menonton TV di rumah dan sesekali bermain video game, tetapi sekurangnya, kita bersama anak anak melakukannya dan jangan melakukannya berlebihan. Tetapkan had.

Bak kata Dog Whisperer, Cesar Milan "mendisiplinkan bukan menganiaya, memanjakan sehingga merosakkan barulah menganiaya.

Sekali sekala kita pun bawa anak anak ke perpustakaan walaupun mereka baru belajar mengenal suku kata. Cuma untuk memperkenalkan mereka dengan dunia ilmu. Selalu kita datang ke rumah orang orang yang dikategorikan sebagai orang berada, perabot dan hiasan cantik cantik dan mahal mahal belaka, tetapi buku? Tiada rak buku atau ruang membaca, apatah lagi bukunya.

Mungkin kedengaran melalut tetapi ini adalah kebenaran. Topik kita adalah keselamatan anak anak, yang sepatutnya bermula dari ibubapa, kemudian diterapkan dengan cara yang betul kepada anak anak.

Jangan mengambil mudah segala tanggungjawab sebagai ibubapa. sistem keselamatan yang paling baik dan berkesan adalah melalui pendidikan yang betul. Didik anak anak dengan contoh yang betul, terapkan nilai nilai yang dapat menjadikan semuanya manusia yang baik, mudah mudahan, tidak ada lagi hati hati kejam yang bermaharajalela.
Mungkin sekiranya kita lebih bersyukur dengan apa yang kita miliki, barulah kita lebih menghargai apa saja milik kita.

Sekali lagi, kita bukanlah ibubapa yang paling baik cuma coretan ini untuk kita berkongsi sedikit pengetahuan tentang perkara ini. Yang baik baik itu datang nya dari Tuhan yang kita percaya, segala yang silap adalah perbuatan kita.

Sehingga bertemu kembali, sayangi dan hargai mereka yang berada di sisi anda setiap hari. Anak anak yang ceria hasil dari ibubapa yang ceria.

Salam....

No comments:

Post a Comment